KUALA LUMPUR, 18 November – Kerajaan menegaskan penyasaran subsidi bersasar dijalankan dengan teliti, bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, sekali gus mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan kini beralih sepenuhnya kepada sistem digital yang komprehensif untuk pengurusan bantuan.
“Kaedah agihan bantuan subsidi kerajaan kini telah beralih kepada sistem digital yang komprehensif seperti penggunaan MyKad untuk SARA dan BUDI95 serta penyasaran subsidi bahan api melalui sistem e-Bantuan JKM, MySTR dan e-Kasih yang menggunakan kriteria kelayakan terperinci.
"Kerajaan juga mendapat kerjasama penuh daripada 34 agensi termasuk JPN, Jabatan Akauntan Negara, Bendahari Negeri dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
(SSM) bagi memastikan data yang diperoleh adalah tepat dan benar-benar disasarkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali, Lim memaklumkan bahawa kerajaan MADANI telah memperuntukkan lebih RM208 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif dari 2023 hingga 2025 untuk menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan, khususnya bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Beliau menjelaskan, penyasaran subsidi bertujuan mengurangkan ketirisan akibat penyeludupan dan penggunaan subsidi oleh golongan yang tidak layak, termasuk warga asing.
Menurut Lim, kesan pelaksanaan penyasaran subsidi kekal positif dengan kadar inflasi terkawal pada 1.8 peratus pada 2024, diunjurkan antara 1 peratus hingga 2 peratus pada 2025 dan 1.3 peratus hingga 2 peratus pada 2026.
Penjimatan daripada subsidi bersasar disalurkan kepada program kebajikan dan kos sara hidup, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), peningkatan peruntukan kepada RM15 bilion, termasuk tambahan RM2 bilion secara sekali bayar.
Manakala, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), peningkatan peruntukan RM2.9 bilion.
Program Kos Sara Hidup sebanyak RM1 bilion termasuk jualan Rahmah MADANI, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) lebih kurang RM791 juta, insentif pas bulanan My50 sebanyak RM216 juta, serta kad 30 hari dan kad konsesi BAS.MY sebanyak RM200 juta diperluaskan ke seluruh negara.
Lim turut menegaskan, langkah itu dapat memastikan subsidi dimanfaatkan secara tepat, adil dan terus memberi manfaat kepada rakyat, selain membolehkan kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana bagi agenda kebajikan dan pembangunan prasarana.