
SEREMBAN, 9 April – Semua kapal, termasuk enam kapal Malaysia, tidak dapat melalui Selat Hormuz buat masa ini susulan pelanggaran terhadap persetujuan gencatan senjata yang baharu diumumkan.
- Iran dakwa wujud pelanggaran terhadap syarat gencatan senjata, menurut Menteri Luar.
- Iran menuntut gencatan senjata merangkumi seluruh Asia Barat; mahu AS hentikan serangan dan jamin keselamatan perkapalan.
- Kerajaan melapor sebuah kapal Malaysia selamat tiba perairan antarabangsa; pemantauan diteruskan terhadap kapal Malaysia lain dan impak perkapalan diantisipasi.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, situasi itu berlaku selepas Iran mendakwa wujud pelanggaran terhadap syarat gencatan senjata berkenaan.
Menurut beliau, Iran sebelum ini mengemukakan beberapa syarat kepada Amerika Syarikat termasuk menghentikan serangan bagi meredakan ketegangan di rantau Teluk serta memastikan keselamatan laluan perkapalan.
“Iran menegaskan gencatan senjata ini perlu melibatkan penamatan konflik di seluruh Asia Barat, bukan hanya di Iran. Mereka tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan dan mahu semua pihak menghormati syarat yang dipersetujui,” katanya.
Tambah beliau, keadaan semasa menyebabkan semua kapal tidak dapat melalui laluan strategik itu buat sementara waktu.
“Kapal kita tidak dapat melalui Selat Hormuz ketika ini. Namun kelulusan telah diberikan dan sebuah kapal Malaysia telah selamat keluar ke perairan antarabangsa. Kita masih memantau keadaan melibatkan enam lagi kapal,” katanya.
Situasi itu dijangka memberi kesan kepada pergerakan perkapalan antarabangsa susulan ketegangan berterusan di rantau berkenaan.