KUALA LUMPUR, 11 Mac - Keselamatan siber kekal menjadi keutamaan negara; mengambil kira dinamika ancaman siber yang semakin meningkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkara itu menerusi Mesyuarat Keselamatan Siber Negara Bilangan 1/2025 yang dipengerusikan oleh beliau hari ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan mesyuarat itu membincangkan tiga isu terkait keselamatan siber.
"Mesyuarat juga mengambil maklum dan berbincang mengenai tiga pembentangan berhubung perkara-perkara berikut: Situasi semasa keselamatan siber negara di mana secara umumnya terdapat trend penurunan insiden keselamatan siber dari tahun 2023 - 2024, yang kedua, status pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 [Akta 854] di mana pelaksanaan akta ini terus diperkukuhkan melalui tambahan pelantikan ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII) dan pakar keselamatan siber"
"Dan yang ketiga, penganjuran Cyber Games dan persidangan peringkat ASEAN anjuran bersama NACSA, Council of Europe dan INTERPOL berhubung jenayah siber dipersetujui diadakan pada bulan Mei 2025". katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia hari ini.
Jelas beliau, kerajaan optimis keupayaan agensi berkaitan dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta industri tempatan mampu memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi ancaman siber.
Kerajaan juga menyeru pihak tempatan yang mempunyai kepakaran dalam keselamatan siber bekerjasama dengan kerajaan agar ekosistem keselamatan siber dapat dipertingkatkan dengan lebih menyeluruh.