
KOTA TINGGI, 28 Mac – Kementerian Pertahanan terus memantau aspek keselamatan anggota Batalion Malaysia (MALBATT 850-13) di Lubnan susulan krisis perang yang sedang melanda negara itu.
- Kerajaan tidak akan menghantar balik anggota terlibat ke tanah air kerana operasi tertakluk kepada mandat PBB.
- Keputusan penugasan akan mempertimbangkan perkembangan semasa serta keperluan operasi di kawasan berkenaan.
- Jika perlu, anggota diarahkan menangguhkan operasi dan berlindung di bunker demi keselamatan, mengelak risiko yang tidak perlu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mengarahkan kira-kira 500 anggota terbabit pulang ke tanah air kerana tertakluk kepada mandat misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut beliau, sebarang keputusan berkaitan penugasan akan mengambil kira perkembangan semasa serta keperluan operasi di kawasan berkenaan.
“Jika keadaan memerlukan, anggota akan diarahkan menangguhkan peranan operasi dan kekal berlindung di bunker demi keselamatan, tanpa mengambil risiko yang tidak perlu,” katanya ketika mengulas insiden letupan berhampiran kawasan operasi PBB di Lubnan
Beliau turut berharap insiden pertemuan tidak dirancang dengan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) tidak berulang.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian Projek Janaveteran di Ladang Teluk Sengat, di sini.