Keselamatan dipertingkat, 50 sekolah di Kedah dipasang CCTV

Foto hiasan

SUNGAI PETANI, 3 Mac – Terdapat kira-kira 50 buah sekolah di Kedah dipasang kamera litar tertutup (CCTV) dan jumlahnya dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus pemasangan CCTV diberi kepada sekolah berasrama untuk menyokong inisiatif sekolah selamat dan keselamatan pelajar.
  • CCTV dipasang di asrama dan lokasi di luar pandangan utama guru untuk pemantauan tambahan.
  • Kerjasama KKM, JKM dan PDRM dijalankan untuk pastikan keselamatan dan siasatan kejadian diselesaikan segera.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Abdul Rahim Mat berkata setakat ini pemasangan CCTV memberi tumpuan kepada sekolah berasrama termasuk tiga buah sekolah rendah berasrama.

Beliau berkata pemasangan CCTV di sekolah terbabit dalam usaha kementerian mewujudkan inisiatif sekolah selamat dan memastikan keselamatan pelajar.

“Kebanyakan CCTV dipasang di kawasan asrama, manakala selebihnya ditempatkan di lokasi yang memerlukan pemantauan tambahan, khususnya di kawasan yang berada di luar pandangan utama guru-guru”, katanya dalam sidang media bersama Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Abdul Rahim mengulas mengenai kejadian seorang pelajar tingkatan lima di Sungai Petani dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah itu.

Terdahulu, menurut kenyataan polis rakaman CCTV di kawasan bawah bangunan sekolah itu turut menunjukkan mangsa jatuh pada pukul 7.58 pagi sebelum ditemui pekerja pembersihan seminit kemudian.

Abdul Rahim berkata beliau telah melawat mangsa yang kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani dan memaklumkan remaja autistik yang juga OKU pendengaran itu dalam keadaan stabil.

Bagi memastikan keselamatan pelajar terbabit sentiasa terjamin, pihak berkaitan turut mendapatkan kerjasama dan bantuan daripada agensi terlibat iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau juga berharap siasatan dapat diselesaikan segera dan pihaknya akan menyerahkan laporan lengkap ke peringkat pusat.