fb fb fb fb fb

Kesan tapak kaki harimau ditemui di Pos Bihai, Pos Balar, kelibat belum dikesan

 



GUA MUSANG ,15 Februari- Penduduk Orang Asli di Kampung Pos Bihai dan Pos Balar, di sini mendakwa menemui kesan baharu beberapa tapak kaki harimau di sekitar kampung berkenaan sejak tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, bagaimanapun, pasukan Senoi Praaq atau Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak dan petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang sedang giat menjalankan operasi menangkap harimau di daerah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pasukan berkenaan belum berjaya mengesan kehadiran harimau tersebut setakat ini.

Justeru katanya, operasi terus dipergiat disebabkan penduduk di sini percaya haiwan tersebut masih berkeliaran di kawasan sekitar apabila menjumpai tapak haiwan itu.

“Seramai 14 orang anggota Senoi Praaq masih menyertai operasi bersama anggota Perhilitan bagi menjaga keselamatan serta menjejak harimau belang yang masih bebas berkeliaran.

“Nasihat kami (polis) kepada penduduk Orang Asli yang terjejas supaya berhati-hati dan sentiasa bergerak secara berkumpulan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bekalan makanan kepada 300 Orang Asli di Pos Balar di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini.

Media Baharu