fb fb fb fb fb

Kes tipu umrah, MOTAC cadang laksana kaedah penarafan agensi pengendali

Foto Fail

CYBERJAYA, 19 November- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merekodkan sejumlah RM9 juta kes penipuan pakej umrah pada tahun ini.

Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan MOTAC, Roslan Mohammad berkata 62 kes telah dilaporkan kepada polis melibatkan kerugian RM2.1 juta manakala 355 kes direkodkan di Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) dengan nilai sebanyak RM7.079 juta.

Tambahnya, jumlah tersebut meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lepas iaitu sebanyak RM3 juta.

Oleh itu, MOTAC bercadang untuk melakukan penarafan terhadap agensi pengendali perkhidmatan umrah negara, dalam usaha meminimumkan risiko penipuan kepada orang awam.

"Cadangan ini telah kami bentang dalam Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang mana merupakan satu badan mesyuarat paling tinggi dalam membuat dasar berkaitan umrah di Malaysia.

Antara cadangannya ialah kita nak gredkan syarikat-syarikat umrah ini. Kaedah penggredan itu akan membantu daripada segi kualiti setiap agensi pengendali. Selain itu, ia turut membantu orang awam dalam membuat penilaian dan sebagainya," kata Roslan kepada pemberita selepas Majlis Penutup Hari Umrah Malaysia di Malakat Mall, di sini.

Syarat penarafan gred itu memerlukan syarikat perkhidmatan umrah mempunyai kemudahan penginapan dan tiket penerbangan terlebih dahulu, sebelum mengiklankan perkhidmatan mereka.

Di samping itu, mereka perlu menyediakan perjanjian bersama jemaah sebelum tarikh penerbangan sebagai syarat tambahan penggredan tersebut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM