Kes tembak Komander AKPS: Dua lagi suspek ditahan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah)

BUKIT KAYU HITAM, 28 Februari – Dua lagi suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Rabu lalu berjaya diberkas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua lagi suspek warga tempatan ditahan di Bukit Kayu Hitam berkaitan kes tembakan terhadap Komander AKPS.
  • Kes kini melibatkan sembilan tangkapan, termasuk tujuh sebelum ini, bagi membantu siasatan.
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 51 dan 58 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Bukit Kayu Hitam, malam tadi.

Beliau berkata penahanan kedua-dua suspek dibuat susulan tangkapan yang dilakukan terhadap tujuh suspek, 25 Februari lalu, menjadikan keseluruhan 9 individu telah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan.

“Tangkapan juga dibuat hasil maklumat yang diperolehi daripada Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M Nasir bahawa beliau diekori beberapa individu beberapa hari sebelum insiden tersebut. Hasil maklumat tersebut, pihak polis melakukan siasatan lanjut dan menahan kedua-dua suspek,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Dalam kejadian pagi Rabu lalu, SAC Mohd Nasaruddin yang menaiki kenderaan jenis X70 ditembak dua individu bermotorsikal ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat Subuh di sebuah masjid di Bukit Kayu Hitam.

Tembakan tersebut bagaimanapun, hanya mengenai kereta dinaiki SAC Mohd Nasaruddin.

Susulan itu, polis melancarkan operasi dan berjaya menahan enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 52 tahun.

Hasil semakan mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan berat dan ujian saringan awal air kencing mendapati lima daripada suspek positif dadah jenis ketamin, manakala seorang lagi positif methamphetamine.

Pihak polis turut merampas dua motosikal, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama serta lima set pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Enam suspek direman antara dua hingga empat hari bagi membantu siasatan, manakala wanita berusia lingkungan 30-an itu direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi menyiasat ketulenan dokumen pengenalan dirinya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.