fb fb fb fb fb

Kes penyelewengan diesel menurun 87 peratus selepas penyasaran subsidi - Armizan

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali/Foto Fail: BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Julai– Jumlah kes penyelewengan minyak diesel telah menunjukkan penurunan sebanyak 87% selepas penyasaran subsidi diesel bagi tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataannya berkata jumlah individu yang telah ditahan bersabit kes itu juga berkurang dalam tempoh yang sama iaitu daripada 40 orang kepada seorang sahaja.

"Bagi tempoh 20 Mei 2024 hingga 9 Jun 2024, jumlah kes yang telah direkodkan ialah 65 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter.

"Manakala bagi tempoh 10 Jun 2024 hingga 30 Jun 2024,iaitu 20 hari selepas penyasaran subsidi ini dilaksanakan, statistik menunjukkan penurunan drastik dengan hanya 14 kes telah direkodkan melibatkan jumlah rampasan sebanyak 68,457 liter," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan terdapat peningkatan bagi kes yang melibatkan rampasan petrol RON95.

"Terdapat 37 kes dengan rampasan 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei 2024 sehingga 9 Jun 2024, berbanding 46 kes dengan rampasan 14,011 liter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

"Jumlah tangkapan pula telah meningkat daripada 10 orang kepada 17 orang dalam tempoh yang sama," katanya.

Menurut Armizan, KPDN akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan di bawah OPS TIRIS 3.0 di seluruh negara dengan kerjasama rapat agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI