fb fb fb fb fb

Kes murid dirakam, KPM sedia tawar kaunseling kepada mangsa

Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 6 September- Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia menawarkan sesi kaunseling kepada murid-murid yang menjadi mangsa rakaman video dalam bas sekolah susulan penahanan pemandunya hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, perkara tersebut akan diuruskan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan unit berkaitan bagi membantu mangsa sekiranya mengalami trauma.

"Sekiranya mempunyai keperluan, pihak KPM melalui JPN dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) akan memberikan sesi kaunseling kepada murid-murid terlibat yang merupakan mangsa.

"Pihak KPM akan sentiasa bersedia untuk membantu anak-anak kita," katanya selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Kedah di sini.

Tambahnya, KPM juga menyerahkan kes tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneruskan siasatan berhubung kes terbabit.

Terdahulu, PDRM telah menahan pemandu bas berusia 24 tahun itu di Simpang Renggam, Kluang, selain merampas telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Kah Woh menegaskan bahawa KPM mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi berkaitan jemputan orang kenamaan atau ahli politik bagi menghadiri program di sekolah.

"Garis panduan itu telah berkali-kali kami (KPM) jawab di Parlimen kepada ahli-ahli Parlimen yang membangkitkan," katanya.

Beliau berharap semua pihak terlibat mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan demi kepentingan pelajar dan sekolah.

BERITA BERKAITAN: 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM