ALOR SETAR, 1 Januari - Kuala Muda menjadi daerah tertinggi mencatatkan jumlah kemalangan maut dengan 121 kemalangan, antara Januari hingga September 2023.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Aman Shah Hashim berkata jumlah itu meningkat berbanding tahun 2022 yang menyaksikan jumlah di daerah itu ialah sebanyak 108 bagi tempoh sama.
Katanya, ketika ini dua universiti yang menganggotai Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) sedang menjalankan kajian mengenai faktor yang membawa kepada pertambahan kejadian berlaku kemalangan maut di daerah tersebut.
"Kuala Muda adalah yang mempunyai statisitk kemalangan maut paling tinggi di Malaysia berkaitan motosikal. Insha-Allah pada 21 Januari depan akan dilancarkan satu program kesedaran di sini," kata Aman Shah dalam sidang media selepas meninjau pelaksanaan Program Penukaran Topi Keledar JPJ Kedah sempena Program Kedah Ambang Sejahtera 2024 di Tasik Darul Aman di sini, malam tadi.
Dalam program tersebut, sebanyak 684 topi keledar percuma diedarkan kepada orang ramai.
Di Kedah, sebanyak 1,753 saman dikeluarkan sepanjang 2023 berkaitan kesalahan melibatkan pemakaian topi keledar.