ALOR SETAR, 16 Disember- Kes kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah di Kedah menunjukkan peningkatan sebanyak 156 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, lapor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sehubungan itu, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff bertitah, baginda memandang serius isu berkenaan.
Antara kes jenayah membabitkan kanak-kanak di negeri tersebut adalah memandu secara melulu, mencederakan ahli keluarga dan memiliki dadah.
"Saya memandang serius kepada beberapa insiden atau kejadian melibatkan kanak-kanak sejak akhir-akhir ini yang sangat membimbangkan.
"Masyarakat berdepan dengan cabaran yang tinggi dan dinamik dalam mengurus dan menangani isu-isu berkaitan dengan kanak-kanak," titahnya pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah tahun 2023 di sini.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Dalam pada itu, sebanyak 466 kes penderaan kanak-kanak termasuk penderaan fizikal, seksual, emosi serta pengabaian direkodkan oleh JKM Kedah bagi tempoh sama.
Che Puan Muda Zaheeda bertitah, ibu bapa perlu berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki, membina dan memastikan wujudnya sebuah dunia yang layak didiami oleh anak-anak.
Usaha tersebut membolehkan negara membangunkan generasi muda bermoral, pintar, kompeten, berbelas kasihan, baik hati, bersopan santun dan berdaya memimpin umat serta memulihkan bumi.