fb fb fb fb fb

Kes GISB: Beri ruang kepada PDRM jalankan siasatan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto RTM

KLUANG, 13 September - Orang ramai diminta untuk memberi ruang kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan terperinci terhadap syarikat Global Ikhwan Sendirian Berhad (GISB) yang didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan akan mengambil masa memandangkan kes tersebut melibatkan jumlah tangkapan yang besar serta melibatkan pelbagai pihak.

“Kita gesa masyarakat supaya bertenang dan mengikuti sumber rasmi yang hampir setiap hari membuat sidang media.

"Tempoh siasatan diperlukan kerana jumlah tangkapan besar ini melibatkan bukan sahaja polis tetapi juga pihak psikologi, kaunseling dan pegawai perubatan. Biarkan mereka menyempurnakan kertas siasatan sebelum tindakan lanjut boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Inspirasi Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ujian saringan fizikal dan mental terhadap kanak-kanak yang terlibat dijangka memakan masa kira-kira 10 hari.

“Saringan ini akan mengambil masa yang lama kerana ia melibatkan kanak-kanak berumur antara 1 hingga 17 tahun. Insya-Allah, dalam tempoh 10 hari, kami akan dapat menyelesaikan saringan ini,” katanya.

 

BERITA BERKAITAN:

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN