fb fb fb fb fb

Kes dera kanak-kanak di Perak meningkat tahun lepas

(GAMBAR HIASAN)

IPOH, 20 Julai- Sebanyak 357 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di Perak pada tahun lepas, meningkat 15 kes berbanding 342 kes pada tahun sebelumnya.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin memaklumkannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini. 

Jelas beliau, tiga punca utama yang menyumbang kepada penderaan ini adalah krisis keluarga, gaya hidup dan keadaan kanak-kanak.

"Perbalahan keluarga kerap kali berlaku terutama dalam keluarga yang sedang mengalami krisis rumahtangga keadaan ini ditambah lagi dengan wujudnya masalah komunikasi antara ibu dan bapa dengan anak-anak sehingga menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah," katanya.

Dr Wan Norashikin yang juga Adun Kampung Gajah berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Adun Pokok Assam, Leow Thye Yih ketika Mesyuarat Kedua Tahun Kelima Dewan Negeri Yang Ke-14 Perak Darul Ridzuan.


(Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin)

Ujarnya lagi, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKM) Perak telah membantu mangsa penderaan dengan memberi pemeliharaan dan perlindungan awal serta membuat pemantauan dan lawatan susulan terhadap mangsa.

“JKM turut menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta perkhidmatan sokongan kepada kes kanak-kanak hamil luar nikah dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual dengan memberi penempatan di institusi JKM iaitu di Taman Seri Puteri, Batu Gajah.

“Bantuan kewangan juga disediakan bagi keluarga yang sanggup memberi penjagaan dan pemeliharaan kepada mangsa penderaan yang disenaraikan daripada Program Anak Pelihara melalui Bantuan Anak Pelihara dengan kadar RM250 sebulan untuk seorang kanak-kanak dan maksimum RM500 sebulan sekeluarga yang memelihara dua orang kanak-kanak atau lebih,” katanya dalam sesi soal jawab lisan.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, sebanyak 29 kes pada 2020 dan 23 kes dilapor pada tahun lepas.

Media Baharu