fb fb fb fb fb

Kes denggi di Ipoh catat peningkatan - MBI

Foto Fail

IPOH, 29 Januari- Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatatkan peningkatan dengan 330 kes dilaporkan sehingga 20 Januari lalu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata peningkatan itu adalah sebanyak 407.7% berbanding 65 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, cuaca panas, kering dan hujan yang berselang seli serta berterusan menyebabkan pola densiti nyamuk aedes mempengaruhi situasi risiko penyebaran kes denggi.

"Masalah kita sekarang adalah terdapat banyak sampah haram. Sampah haram ini melibatkan sikap. Jadi, susah juga kalau kita nak kerja. Hari ini kita lakukan pembersihan, petang sudah berlonggok semula sampah."

"Maka, saya memang mahu akta ini dikuatkuasakan untuk kerjasama daripada semua pihak. Kalau tidak, sampai bila-bila isu denggi ini tidak boleh selesai," kata Datuk Rumaizi kepada pemberita ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari di Bangunan MBI, di sini.

Terdapat tiga lokaliti hotspot yang direkodkan antaranya di Kampung Sri Kinta, Rumah Pangsa Sri Conolly dan Rumah Pangsa Taman Silibin setakat 28 Januari 2024.

Ujarnya, aktiviti tanaman kebun tanpa kebenaran (haram) yang tidak diselenggara dan dibersihkan juga boleh menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes, terutamanya pada musim hujan.

Justeru, pihak MBI telah mengeluarkan Notis Pembersihan Kawasan kepada pemilik kebun tanpa kebenaran (haram) di bawah Undang-Undang Kecil Taman dan Akta 171 Kerajaan Tempatan 1976.

Ia turut merangkumi 14 lokasi padang dan enam lokasi di dalam rizab jalanraya dengan tindakan pembersihan di bawah Jabatan Taman dan Landskap Bandaraya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM