fb fb fb fb fb

Kes tikam pelajar: Jemaah Menteri bincang langkah tegas - PM

Foto RTM

PUTRAJAYA, 15 Oktober - Insiden tikam melibatkan pelajar di sekolah perlu dilihat secara menyeluruh termasuk peranan keluarga, peraturan sekolah dan pengaruh media sosial yang semakin membimbangkan, demikian menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, tindakan segera akan diambil kerajaan menerusi satu mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan seawal hari ini bagi membincangkan langkah-langkah tegas untuk menangani isu terbabit.

“Kita akan adakan perjumpaan mengenai isu ini. Saya sudah beri komen, tetapi apabila kita melihat keseluruhan keadaan, hampir semuanya menjurus kepada penggunaan telefon pintar, media sosial dan aplikasi tertentu," katanya kepada media pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini.

Dalam kejadian semalam, seorang pelajar perempuan tingkatan empat meninggal dunia selepas ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi manakala suspek berusia 14 tahun telah ditahan.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN