fb fb fb fb fb

Kes 1MDB: Datuk Seri Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun, denda RM11.4 bilion

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Disember - Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan itu disampaikan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM11.4 bilion atau dipenjara 40 tahun jika gagal membayarnya.

Manakala bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Datuk Seri Najib dijatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan, namun tiada sebarang denda dikenakan.

Bagaimanapun bekas perdana menteri berusia 72 tahun itu, hanya akan menjalani hukuman penjara 15 tahun, kerana hakim memerintahkan semua hukuman penjara itu dijalankan secara serentak.

Hakim juga memutuskan bahawa hukuman tersebut hanya akan berkuat kuasa selepas beliau menamatkan tempoh penjara enam tahun bagi kes SRC International Sdn Bhd yang melibatkan penyalahgunaan RM42 juta, yang akan berakhir pada 23 Ogos 2028.

Hakim Sequerah juga memerintahkan Datuk Seri Najib membayar jumlah yang boleh dipulihkan sebanyak RM2,081,476,926 di bawah Seksyen 55(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan jika gagal, beliau akan berdepan penjara tambahan selama 270 bulan.

Prosiding hari ini bermula pada pukul 9:15 pagi hingga 9:00 malam, berlangsung selama 11 jam 45 minit.

EZA YUSMAWATI YAACOP