fb fb fb fb fb

Kerjasama strategik universiti, industri pemangkin kemajuan Pulau Pinang

FOTO RTM

GELUGOR, 31 Oktober - Kerjasama strategik antara universiti dan pihak industri antara salah satu usaha utama kerajaan negeri dalam mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab perindustrian teknologi tinggi di rantau ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kolaborasi itu diperkukuh melalui agensi pembangunan utama seperti Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC).

Tambahnya, ia bagi meningkatkan bilangan graduan berkualiti serta menyediakan program penempatan berstruktur, sekali gus memastikan lulusan tempatan sentiasa relevan dalam mengisi kekosongan jawatan dalam sektor berteknologi tinggi di Pulau Pinang.

"Jadi, saya percaya Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai universiti APEX (Program Pemacuan untuk Kecemerlangan)sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti CRESS (Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat), NCIA, PSDC serta pertubuhan industri dalam usaha menyediakan dan melahirkan lebih ramai graduan.

"Kerjasama ini juga merangkumi pelaksanaan program penempatan, latihan, dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum Alumni di USM.

Sementara itu, rata-rata mahasiswa yang menghadiri forum tersebut teruja dengan kehadiran ketua menteri, yang juga alumni USM, dalam forum berkenaan.

"Dengan kehadiran CM (ketua menteri) ke USM ini, memandangkan beliau juga merupakan alumni USM, dan saya juga baru berkecimpung dalam dunia mahasiswa di USM, jadi saya mengucapkan terima kasih kepada terutamanya kepada Kerajaan Pulau Pinang kerana memberi peluang kepada saya untuk berjumpa dengan orang-orang hebat seperti mereka semua," Kata pelajar USM, Hafiz Hamzar.

“Program ini sangat bermanfaat, terutama sekali kerana turut melibatkan pihak pengurusan dan juga ketua menteri. Saya berasa bahawa melalui program ini, saya memperoleh banyak manfaat, khususnya daripada segi pengetahuan tentang bidang yang boleh saya ceburi selepas saya menamatkan pengajian di USM,” Kata pelajar USM, Fariz Salmi.

Forum berkenaan dikendalikan oleh tokoh pengacaraan tanah air yang juga alumni USM, Ahmad Fedtri Yahya, manakala Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, turut menjadi ahli panel.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM