GEORGE TOWN, 3 September - Tanggungjawab dan kerjasama dari semua pihak diperlukan bagi menarik minat golongan muda terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata isu tersebut merupakan cabaran utama yang dihadapi ketika ini dan memerlukan penglibatan semua pihak dan tidak boleh diletakkan hanya kepada Kementerian Pendidikan semata-mata.
"Ia mesti melibatkan satu hubungan sinergi yang berkesinambungan, bukan sahaja di peringkat kementerian pendidikan yang memberi tumpuan kepada sekolah rendah dan menengah, tetapi juga di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat syarikat inkubator, Oppstar Technology Sdn Bhd di Pusat Inkubator Inovasi Universiti Sains Malaysia (USM), Sains@USM Bukit Jambul, di sini pada Isnin.
Tambah Zambry, industri berkaitan teknologi memerlukan tenaga kerja yang mempunyai pelbagai kemahiran, selain permintaan yang tinggi daripada pihak industri pada masa kini.
Katanya, kerjasama dan hubungan tiga hala antara kerajaan, universiti, dan pemain industri perlu terus diperkukuh memandangkan ketiga-tiganya memainkan peranan penting yang mampu memberi impak besar kepada negara.