SHANGHAI, 9 September- Kerjasama Malaysia-China dalam membanteras jenayah rentas sempadan menunjukkan impak positif.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu terbukti apabila jumlah tangkapan warganegara China di Malaysia semakin berkurangan.
"Kerjasama ini antaranya telah dapat mengurangkan masalah jenayah di antara dua negara. Pada tahun 2022, terdapat 2,125 rakyat china ditahan dan terlibat dengan jenayah yang dilakukan di Malaysia. Tetapi pada tahun lalu hanya 79 orang sahaja yang ditangkap. Ini memperlihatkan kerjasama dua negara memberi keberhasilan yang cukup baik", ujarnya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global 2024 di Lianyungang.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kuala Lumpur berhasrat meneruskan kerjasama dengan Beijing, termasuk dalam meningkatkan latihan bersama dan pertukaran pegawai-pegawai tinggi dalam bidang penguatkuasaan dan keselamatan.
"Kita harap ia dapat dipertingkatkan lagi apabila lawatan Presiden Xi Jinping ke malaysia dalam waktu terdekat yang akan ditentukan mereka. Pada keseluruhannya kami berpuas hati bukan hanya persidangan diadakan di sini tetapi juga tentang komitmen China", tambahnya.