fb fb fb fb fb

Kerangka RUU Warga Emas dalam fasa penelitian - KPWKM

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 September - Sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi mengemas kini kerangka Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas sedang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Langkah itu merupakan usaha proaktif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mewujudkan perundangan khusus bagi warga emas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjelaskan, usaha tersebut diharap dapat memberi perlindungan kepada warga emas secara lebih menyeluruh dan berkesan di samping peruntukan perundangan sedia ada.

“KPWKM akan mengadakan sesi libat urus fasa berikutnya bagi memurnikan kerangka perundangan yang dikemas kini itu kelak. Kerajaan melalui Kementerian Ekonomi sedang membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan atau National Aging Blueprint (NAB) sebagai panduan strategik dan menyeluruh dalam menghadapi cabaran negara tua di Malaysia,” katanya.

Menurut Datuk Seri Dr Noraini, kerangka RUU berkenaan kini dalam fasa penelitian dengan mengambil kira manfaat jangka panjang kepada komuniti warga emas di bawah NAB.

“Rangka tindakan ini merangkumi pendekatan rentas kementerian dan agensi serta mengambil kira aspek penting seperti perancangan infrastruktur sosial dan dasar yang berkaitan demi memastikan negara bersedia dari segi dasar, struktur dan pelaksanaannya.

“Pada masa sama, di bawah NAB ini, KPWKM akan menerajui usaha penyediaan ekosistem perkhidmatan penjagaan jangka panjang atau long term care yang menyeluruh dan berkesan.

“Dalam hal ini, KPWKM sedang membangunkan kerangka strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030, dan kerangka ini kini dalam fasa akhir pembangunannya,” katanya.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN