
KUALA LUMPUR, 9 Februari – Sebanyak RM700 Juta diperuntuk oleh kerajaaan bagi pelaksanaan kerja penyelenggaran Jalan Persekutuan di seluruh negara bagi tahun ini, sekaligus memperluas penyertaaan kontraktor kecil tempatan , khususnya kelas G1 dan G2 dalam pembangunan infrastruktur negara.
- Peruntukan RM700 juta untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan tahun ini, melibatkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
- Sarawak menerima kenaikan peruntukan 300 peratus, sementara Sabah hampir empat kali ganda jumlah kerja penyelenggaraan.
- Kerajaan galakkan penyertaan kontraktor kecil tempatan kelas G1 dan G2 untuk memperkasa Bumiputera.
- Tekad tamatkan kontrak kontraktor gagal dan pastikan ketelusan, akauntabiliti serta kawalan kos projek infrastruktur.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan itu melibatkan RM200 juta di Sarawak, RM200 juta di Sabah dan RM300 juta di Semenanjung Malaysia, dengan peningkatan ketara berbanding tahun 2025.
Menurut beliau, di Sarawak peruntukan meningkat sebanyak 300 peratus, manakala di Sabah bilangan kerja penyelenggaraan bertambah hampir empat kali ganda.
“Langkah itu bukan sahaja bertujuan memperkasa kontraktor Bumiputera, malah memastikan kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan secara berterusan demi keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya demikian semasa sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Nanta menegaskan komitmen kerajaan untuk menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah, meskipun berdepan kelewatan akibat faktor teknikal serta kerumitan pengurusan projek.
Setakat ini, kemajuan fizikal LPB Sabah Fasa 1A telah mencapai hampir 87 peratus, manakala Fasa 1B masih berada pada peringkat awal pelaksanaan.
Jelasnya, kerajaan menyasarkan baki jajaran lebuh raya berkenaan dapat disiapkan secara berperingkat dengan penyelesaian menyeluruh menjelang suku keempat 2028, disertai pemantauan rapi bagi memastikan ketelusan serta kawalan kos projek.
Pada masa sama, kerajaan mengambil pendekatan tegas terhadap kontraktor gagal, khususnya melibatkan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Kelantan, apabila kontrak bagi beberapa pakej kerja ditamatkan susulan kegagalan kontraktor melaksanakan tanggungjawab serta menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Nanta menegaskan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana kontraktor yang gagal, sebaliknya akan terus memastikan setiap projek infrastruktur persekutuan dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat, selaras aspirasi Malaysia MADANI.