fb fb fb fb fb

Kerajaan tidak mahu buat keputusan terburu-buru tentukan klasifikasi T15

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

PUCHONG, 8 Februari- Kerajaan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru dalam menetapkan klasifikasi 15 peratus teratas kumpulan berpendapatan tinggi (T15).

Menteri Kewangan Dua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kementerian Ekonomi perlu diberi masa untuk mengenal pasti tangga pendapatan yang tepat sebelum perkara itu diumumkan.

"Ia diusahakan Kementerian Ekonomi, kita berharap perkara ini dapat dimuktamadkan tidak lama lagi dan bagaimana pelaksanaan yang akan dilakukan pada masa depan.

"Tetapi yang pentingnya kalau kita buat usaha-usaha seperti ini, ia perlu dibuat dengan kefahaman data yang betul. Ia tidak boleh dibuat terburu-buru bagi mengelakkan data tidak tepat. Jadi saya fikir Kementerian Ekonomi perlu diberikan masa dalam usaha ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di bawah CIMB, di Pusat Komuniti Pinggiran Bukit Jalil 2 di sini.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum ini menyatakan, individu diklasifikasikan sebagai T15 akan ditentukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah serta lokaliti masing-masing.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI