TAPAH, 13 April- Kerajaan terbuka meneliti sebarang cadangan bagi penambahbaikan sistem perundangan sedia ada termasuk melibatkan proses pelantikan Ketua Hakim Negara, jelas Jurucakap Kerajaan Datuk Fahmi Fadzil.
"Kerajaan terbuka menerima pelbagai pandangan mengenai kaedah penambahbaikan undang-undang sedia ada, sama ada berkaitan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman atau aspek lain," katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Kabinet turut mengambil maklum berhubung satu kes mahkamah yang telah difailkan untuk mencabar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.
"Kabinet juga mengambil maklum terdapat satu kes mahkamah yang mencabar Akta JAC dan perkara ini akan diteliti secara mendalam," katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi menyatakan perkara itu pada sidang media selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning, di sini, hari ini.
Tambah beliau, sejak pentadbiran Kerajaan MADANI, lebih 80 undang-undang telah dibawa ke Parlimen, sama ada untuk tujuan pindaan atau penggubalan baharu, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh institusi dan sistem demokrasi negara.