
KUALA LUMPUR, 22 Mac– Kerajaan sedang meneliti cadangan pembaikan Pusat Latihan Integrasi Klinikal dan Trauma Life Support Malaysia (TLSM) Kebangsaan di Bukit Ilmu, Hospital Sungai Buloh, Selangor yang berusia lebih 100 tahun.
- Cadangan pelaburan RM485,000 bagi pembaikan TLSM sebagai pelaburan modal insan untuk memastikan petugas kekal kompeten dan mahir menyelamatkan nyawa.
- Kerajaan akan berusaha merealisasikan cadangan pembaikan TLSM.
- Hospital Sungai Buloh memikul tanggungjawab sebagai pusat rujukan nasional dan tunjang koridor Selangor Utara.
- Komitmen penambahbaikan infrastruktur termasuk baik pulih segera Unit ICU, dewan bedah dan kebajikan petugas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan pelaburan berjumlah RM485,000 itu merupakan pelaburan modal insan yang kritikal bagi memastikan petugas kesihatan terus kompeten dan mahir dalam menyelamatkan nyawa.
“Insya-Allah, kami akan usahakan,” katanya menerusi hantaran Facebook selepas menyantuni petugas hospital itu sempena Aidilfitri, hari ini.
Beliau berkata Hospital Sungai Buloh memikul tanggungjawab besar sebagai pusat rujukan nasional dan menjadi tunjang kepada koridor Selangor Utara termasuk kawasan Parlimen Kuala Selangor.
Sehubungan dengan itu, Dzulkefly berkata komitmen terhadap penambahbaikan infrastruktur akan terus diberi perhatian termasuk keperluan baik pulih segera di Unit ICU dan dewan bedah serta kebajikan petugas.
Sementara itu, Hospital Sungai Buloh menerusi hantaran Facebook sebelum ini memaklumkan pusat latihan tersebut nadi utama dalam usaha melahirkan profesional kesihatan berkemahiran tinggi dalam bidang kecemasan dan trauma.
Hantaran itu memaklumkan pusat berkenaan turut berfungsi sebagai pusat rujukan kebangsaan yang menyediakan latihan berterusan kepada doktor, jururawat dan paramedik dari seluruh negara. -BERNAMA