fb fb fb fb fb

Kerajaan tawar 4,000 lesen PSV percuma kepada B40

(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook)

BATANG KALI, 3 Julai- Seramai 4,000 orang penerima daripada golongan B40 layak mendapat Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (Public Service Vehicle) yang akan ditanggung oleh kerajaan melalui Program My-PSV.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook daripada jumlah itu, 3,500 slot adalah untuk mereka yang ingin mendapatkan lesen e-hailing kenderaan perkhidmatan awam (PSV) atau teksi, dengan baki 500, untuk lesen bas PSV.

Tambahnya, peruntukan keseluruhan program itu juga merangkumi kos ujian dan latihan kepada calon dengan kadar RM190 untuk setiap calon PSV e-hailing/teksi manakala RM2,590 untuk setiap calon PSV bas.

"Program ini sahaja kita nak melahirkan 500 pemandu, kita memerlukan ramai pemandu bas seperti yang saya kata tadi yang diperlukan bukan sahaja Prasarana, syarikat-syarikat bas juga memerlukan pemandu yang ramai.

"Semua syarikat bas ekspress mengeluh bahawa tak cukup pemandu dan juga syarikat bas berhenti-henti di seluruh negara,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran program MyPSV di Batang Kali, Selangor turut mengiringinya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Jelasnya lagi, kerajaan juga mengadakan inisiatif untuk memberikan elaun tambahan harian kepada pemandu bas bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia melancarkan Program My-PSV Peringkat Kebangsaan 2023 bagi membantu golongan B40 mendapatkan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam.

Program MyPSV sekali gus membuka peluang dan ruang kepada masyarakat bagi mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan perkhidmatan awam.

Terdahulu, Kerajaan Perpaduan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2 juta bawah Belanjawan 2023 untuk menanggung kos bayaran latihan dan ujian bagi Lesen Vokasional PSV menerusi Program MyPSV.


(Anthony Loke pada majlis pelancaran program MyPSV di Batang Kali,Selangor)

Media Baharu