Kerajaan serah kepada PDRM siasat dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Februari – Kerajaan memandang serius dakwaan berhubung cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan anggap dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan dan sabotaj kestabilan negara sebagai perkara sangat serius.
  • Kerajaan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
  • Polis membuka kertas siasatan, dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5, mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
  • Kementerian akan dapatkan maklumat daripada MKN dan NACSA susulan dakwaan penjualan data beberapa kementerian.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini satu perkara yang sangat serius dan sudah pasti kita serahkan kepada pihak PDRM untuk melakukan siasatan penuh,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini memaklumkan polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan sabotaj terhadap kestabilan negara, yang didakwa melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan bersama sebuah agensi media antarabangsa.

Menurut beliau, laporan diterima polis semalam dan siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Fahmi berkata beliau akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) susulan dakwaan penjualan data melibatkan beberapa kementerian.

“Perkara yang melibatkan isu keselamatan siber diteliti oleh pihak NACSA. Setakat ini, Kementerian Komunikasi belum menerima sebarang maklumat dan Jemaah Menteri juga tidak membincangkan perkara ini,” katanya.