Kerajaan selaras kriteria Ijazah Kelas Pertama IPTA dan IPTS, dibentang Mei ini

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir beramah mesra bersama mahasiswa dan mahasiswi sempena Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia/ BERNAMA

SHAH ALAM, 23 Februari – Kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baharu bagi menyeragamkan penganugerahan Ijazah Kelas Pertama di semua institusi pengajian tinggi (IPT).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan akan perkenalkan garis panduan seragam untuk penganugerahan Ijazah Kelas Pertama di semua IPT.
  • Panduan memastikan kaedah penilaian sama antara IPTA dan IPTS berkaitan pengecualian bayaran balik PTPTN.
  • Maklum balas mahasiswa akan dimasukkan dan diperincikan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035.
  • Cabaran kewangan diakui; pengecualian mula di IPTA, seterusnya IPTN dan GLC sebelum dipertimbang ke IPTS.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata langkah itu bagi memastikan keseragaman kaedah penilaian antara IPTA dan IPTS, khususnya melibatkan pengecualian bayaran balik PTPTN kepada graduan Ijazah Kelas Pertama.

Beliau turut memberi jaminan bahawa setiap pandangan yang disuarakan mahasiswa berhubung isu itu akan diperincikan dalam dokumen Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035.

“Antara perkara yang saya tekankan ialah memberi ruang kepada mahasiswa untuk mengemukakan pandangan serta cadangan bagi menambah baik pelan dan rancangan Pendidikan Tinggi Negara 2026–2035. Seperti yang telah dibentangkan, mereka mewujudkan kluster mengikut 10 lonjakan yang telah ditetapkan, selain mengemukakan beberapa cadangan bernas dalam kerangka tersebut.

“Sebahagian besar daripada cadangan yang dikemukakan akan dipertimbangkan dan dimasukkan dalam pelaksanaan pelan pendidikan negara,” katanya selepas Program Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini hari ini.

Beliau berkata antara cabaran utama ketika ini ialah kekangan kewangan kerajaan memandangkan perbelanjaan tahunan bagi pengecualian tersebut melebihi RM300 juta.

Menurut beliau, kerajaan sebelum ini telah membuat keputusan melaksanakan pengecualian berkenaan di peringkat IPTA dan cadangan seterusnya adalah memperluas pelaksanaannya sebagai permulaan di peringkat IPTN serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebelum mempertimbangkan pelaksanaan di IPTS.