
KINABATANGAN, 15 Januari – Kerajaan komited meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) ternakan ruminan negara yang ketika ini berada pada sekitar 20 peratus.
- Kerajaan mensasarkan peningkatan SSR ternakan ruminan kepada 50 peratus menjelang 2030.
- Sasaran melibatkan peningkatan pengeluaran kerbau, lembu dan kambing bagi keterjaminan makanan.
- Pencapaian bergantung kepada pelaksanaan program berkesan dan usaha berterusan semua pihak.
- Program seperti Sentuhan AGRO MADANI menggalakkan penglibatan komuniti peladang peringkat akar umbi.
Komitmen itu disuarakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menyasarkan tahap sara diri ternakan ruminan negara meningkat kepada 50 peratus menjelang 2030.
Beliau berkata sasaran itu melibatkan peningkatan pengeluaran ternakan seperti kerbau, lembu dan kambing, selaras dengan agenda memperkukuh keterjaminan makanan nasional.
Menurutnya, sasaran berkenaan merupakan aspirasi besar kementerian, namun yakin ia mampu dicapai bergantung kepada pelaksanaan program secara berkesan serta usaha berterusan semua pihak dalam sektor agromakanan.
“Kita berusaha untuk mencapai sasaran 50 peratus menjelang 2030. Memang ia satu sasaran besar, namun pencapaiannya bergantung kepada usaha dan pelaksanaan yang kita lakukan. Ketika ini kita berada sekitar 20 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan AGRO MADANI di sini, hari ini.
Tambah Datuk Seri Mohamad Sabu, pelbagai program keterjaminan makanan sedang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran domestik, termasuk penglibatan aktif komuniti peladang di peringkat akar umbi.