PUTRAJAYA, 19 Mac- Kerajaan menyasarkan 500 buah sekolah dijadikan sekolah angkat oleh syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata sasaran berkenaan ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Kabinet hari ini.
Beliau berkata selain membantu menyelesaikan masalah, inisiatif tersebut dapat membantu pembangunan sekolah-sekolah seluruh negara.
"20 sekolah telah diambil sebagai sekolah angkat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Segala usaha ini akan diselaras oleh pihak Kementerian Pendidikan (KPM).
"... dan sekiranya ada mana-mana syarikat swasta yang berhasrat untuk menjadikan sekolah sebagai sekolah angkat, maka boleh berhubung dengan pihak KPM", katanya.
Sementara itu, Jemaah Menteri secara dasar meluluskan pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981.
Datuk Fahmi Fadzil berkata pindaan itu menzahirkan komitmen kerajaan dalam pemurnian tadbir urus dan kebajikan industri perfileman negara.
Beliau berkata cadangan pindaan dibuat untuk memastikan aspek undang-undang seiring dengan kemajuan industri termasuk isu kebajikan pekerja dalam bidang berkenaan.
"Apa yang Kerajaan MADANI khususnya Kementerian Komunikasi lakukan dalam tempoh dua tahun ini kita banyak beri fokus kepada aspek keselamatan sosial bagi mereka yang terlibat dalam bidang media.
"... dengan membantu part timers ataupun stringers mendapat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan kita juga lakukan yang sama untuk mereka yang terlibat dalam bidang perfileman", katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan di Putrajaya.