BINTULU, 29 Oktober - Isu bekalan air bersih melibatkan empat buah rumah panjang di kawasan Sungai Kemana sehingga ke Kuala Serupai akan diberi perhatian segera.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan Sarawak akan memastikan segalanya mengikut perancangan yang telah dilakukan.
"Kita akan mempertingkatkan dari segi kapasiti, rawatan air dan pam tekanan air ini termasuk tangki yang tinggi. Semua ini sebenarnya sudah berada dalam perancangan kita. Kita akan laksanakan secara berperingkat," katanya ketika mengulas mengenai keperluan penyambungan bekalan air bersih ke Rumah Saong, Sungai Kemana Jalan Kuala Tatau - Balingian.
Tambanya sekiranya proses penyambungan paip dibuat tanpa memastikan kapasiti bekalan air terawat yang mencukupi dikhuatiri akan mendatangkan isu membebankan penduduk.
Amar ditemui pemberita selepas menghadiri program Sembang Santai Bersama Pemimpin di Rumah Saong, Sungai Kemana di sini.
Terdahulu dalam ucapannya beliau menyeru agar pengundi di kawasan tersebut menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 4 November nanti.
Menurut beliau calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee perlu diberi peluang bagi menyambung usaha pembangunan yang telah dilaksanakan oleh mantan ADUN Jepak, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip.
Ujarnya, jaringan jalan raya dari Kuala Balingian ke Kuala Tatau dan seterusnya ke bandar Bintulu telah dibangunkan Kerajaan Sarawak dan memberi pelbagai manfaat kepada penduduk di sepanjang laluan tersebut.
Malah pembinaan Jambatan Kuala Kemena akan membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan tersebut selaras dengan kawasan pentadbiran baharu Bintulu di kawasan Jepak Jaya.
Calon GPS, Iskandar Turkee turut hadir dalam program tersebut bagi menyantuni penduduk di kawasan Sungai Kemana.