KOTA BHARU, 1 Oktober- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM8 juta bagi menampung kos projek membina dan menyiapkan Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Kelantan rekod kencing manis tinggi, gula lebih. Harap pasar kalau jual kuih kurangkan gula. Malaysia antara negara paling tinggi penyakit diabetis.
"Di peringkat Asia, kita nombor satu, harapnya kita dapat memulakan pusat dialisis di sini (Kelantan)", katanya ketika berucap pada program Ramah Mesra bersama Peniaga Pasar Siti Khadijah di sini.
Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Terdahulu, Anwar menerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).
Majlis penganugerahan oleh Sultan Kelantan itu diadakan di Istana Negeri di Kubang Kerian pada pukul 2.00 petang sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan yang ke-55.