
KULAI, 7 Mac -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti pelbagai kaedah pengesahan umur sebelum pelaksanaan had usia 16 tahun bagi penggunaan media sosial dikuatkuasakan pada suku kedua tahun ini.
- Lindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman dan kandungan berbahaya di platform digital.
- MCMC mengadakan sesi libat urus dengan penyedia seperti Meta, Google dan TikTok untuk tentukan kaedah pengesahan sesuai.
- MCMC terbuka mempertimbangkan kaedah lain; penguatkuasaan bagi had umur boleh dimulakan pada separuh kedua tahun ini apabila terdapat persetujuan.
- Kerajaan mensasarkan setiap platform laksanakan eKYC menjelang akhir suku kedua 2026 untuk menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman
dan kandungan berbahaya di platform digital.
Katanya, ketika ini telah mengadakan sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan media sosial seperti Meta, Google dan TikTok bagi menentukan kaedah bersesuaian.
“Pada masa sama, MCMC terbuka untuk mempertimbangkan kaedah-kaedah lain bagi tujuan pengesahan umur. Apabila kita mencapai persetujuan mengenai kaedah yang sesuai untuk menghadkan individu bawah 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial, ia boleh dikuatkuasakan pada separuh kedua tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Serahan Sumbangan Masjid dan Surau Parlimen Kulai Sempena Ramadan, di sini.
Kerajaan dilaporkan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.
Sementara Indonesia bakal menjadi negara bukan Barat pertama yang melarang akses kepada platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bermula pada 28 Mac ini.
Terdahulu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata sebanyak RM93,000 peruntukan sumbangan disalurkan kepada 30 masjid dan 57 surau di kawasannya bersempena dengan Ramadan tahun ini.