Kerajaan Persekutuan–Sabah perkasa infrastruktur kargo udara

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah

KUALA LUMPUR, 5 Mac -Kementerian Pengangkutan sedang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha membangunkan infrastruktur berorientasikan masa hadapan atau future-ready yang menyokong ekosistem kargo udara di kawasan lapangan terbang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk membangunkan infrastruktur kargo udara masa hadapan.
  • Inisiatif ini menyokong usaha menjadikan Malaysia pusat pengedaran serantau mengikut Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030.
  • Fokus serentak pada logistik maritim termasuk pembesaran pelabuhan dan projek terminal dalam perancangan.
  • Langkah proaktif kementerian bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik kargo udara dan maritim serantau.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, langkah itu antara strategi bagi memperkukuh pembangunan sektor logistik negara sekali gus merealisasikan hasrat Malaysia sebagai pusat pengedaran serantau selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030.

Tambah beliau, bagi sektor logistik maritim, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan untuk meneroka ruang serta menyokong usaha pembesaran pelabuhan.

“Antara projek pembesaran yang sedang berlangsung dan dalam perancangan ialah pembangunan Fasa 1 New Deep Water Terminal oleh Lembaga Pelabuhan Kuantan pada tahun 2018, manakala Fasa 2 masih dalam perancangan. Selain itu, Lembaga Pelabuhan Johor sedang merancang pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas Fasa 3 yang dijangka bermula pada 2026, serta pembinaan dermaga baharu bagi mencapai kapasiti 16 juta TEUs menjelang 2029,” katanya di Dewan Negara.

Datuk Hasbi menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding berhubung langkah proaktif kementerian dalam mempersiapkan infrastruktur penerbangan dan pelabuhan negara ke arah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik kargo udara dan maritim serantau.