fb fb fb fb fb

Kerajaan perkasa ekonomi digital Malaysia sebagai hab digital Asia Tenggara

Menteri Digital, Gobind Singh Deo dalam siri lawatannya ke kampus pusat data Vantage di Santa Clara, California pada 20 Mac lalu/Foto FB Gobind Singh

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Kementerian Digital mengukuhkan komitmennya dalam memperkasakan ekonomi digital negara untuk mentransformasikan Malaysia sebagai hab digital Asia Tenggara.

Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam siri lawatan rasminya ke Santa Clara, California pada 20 Mac lalu berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menjalankan kerjasama strategik dengan Vantage Data Centers, sebuah syarikat pelopor kampus pusat data berskala besar bertaraf dunia.

Katanya, beliau telah mengadakan sesi perbincangan dengan pihak pengurusan tertinggi Vantage, yang diketuai Dana Adams, presiden bagi sektor Amerika Utara.

"Kita mengiktiraf komitmen dan usaha Vantage Data Centers dalam pembangunan Malaysia Digital. Kesungguhan ini selari dengan usaha pihak kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi hab digital Asia Tenggara.

"Kini, Vantage Data Centers telah menubuhkan kampus pusat data (KUL1) di Cyberjaya. Mereka bakal meluaskan pengaruh di Malaysia menerusi pembinaan kampus pusat data canggih ‘KUL2’ bersebelahan dengan ‘KUL1’, dan majlis pecah tanah kampus mega ini dijadualkan akan berlangsung pada Mei 2024," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara itu berkata pelbagai peluang kerjasama tersedia untuk merealisasikan hasrat serta memperkukuh kedudukan di rantau Asean.

Dalam pada itu, Gobind turut melawat Supermicro Computer Inc, yang merupakan pengeluar komputer pelayan berprestasi dan kecekapan tinggi.

"Mereka juga membangunkan perisian pengurusan komputer pelayan dan sistem penyimpanan untuk pelbagai pasaran seperti pusat data, pengkomputeran awan, kepintaran buatan, 5G, dan teknologi pengkomputeran termaju.

"Pengeluaran komputer pelayan AI Supermicro merupakan satu pencapaian besar selari dengan keutamaan Malaysia dalam membangunkan ekosistem AI," katanya.

Supermicro mula menubuhkan anak syarikat di Malaysia pada tahun 2022 dan membina kilang di hartanah berkeluasan 100 ekar di Johor.

"Langkah strategik ini memberi impak besar kepada Malaysia menerusi perkembangan pesat industri pusat data di sekitar Johor dan Lembah Klang," katanya lagi.

GRACE AISYAH KEDAYAN