
KUALA LUMPUR, 10 Januari – Kerajaan sedang mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri Selangor bagi menilai kesesuaian memperluas kawasan Zoo Negara di tapak sedia ada.
- Kerajaan menilai cadangan peluasan Zoo Negara sambil menimbang tekanan pembangunan sekeliling.
- Keutamaan diberi kepada pemeliharaan kawasan hijau dan kelestarian alam sekitar.
- Penghargaan kepada China untuk sumbangan panda gergasi sebagai simbol kerjasama pemuliharaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata; penilaian tersebut turut mengambil kira tekanan pembangunan di sekeliling selain keperluan menjaga kelestarian alam sekitar.
“Jadi, kita sedang meneliti perkara ini. Namun kita telah memperuntukkan tanah rizab itu satu perkara yang baik. Kita tidak semestinya perlu memanfaatkan setiap inci tanah tersebut. Kita perlu mengekalkan kawasan hijau di sekitar kawasan ini.
“Kita bertegas dalam perkara ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana memastikan tiada pembangunan berlebihan dalam kawasan hijau, khususnya di bawah kawalan pihak zoo. Begitu juga di kawasan sekitarnya, di mana alam sekitar perlu dilindungi,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara.
Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan China atas sumbangan panda gergasi yang menjadi tarikan utama pelancongan dalam dan luar negara, selain melambangkan kerjasama pemuliharaan antara kedua-dua negara.