fb fb fb fb fb

Kerajaan Negeri Sembilan jaga kebajikan nelayan, ringankan beban

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun

PORT DICKSON, 18 Januari- Kerajaan Negeri Sembilan komited menjaga kebajikan para nelayan dengan membantu meringankan beban dan memastikan bekalan makanan sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan di negeri itu.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, Kerajaan Negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), turut memberikan pelbagai bantuan dan sokongan kepada pengeluar makanan yang meliputi nelayan dan penternak akuakultur kerana memainkan peranan penting dalam ekosistem makanan negara.

Insentif Galakan Nelayan (INGEN) yang diperkenalkan pada tahun 2022 merupakan antara inisiatif yang ditawarkan dengan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membantu nelayan membeli kelengkapan, alatan dan baik pulih bot dengan bantuan antara RM5,000 hingga RM15,000 seorang.

"Nelayan selalu dibantu dengan bantuan pukat, bantuan enjin dan banyak lagi, subsidi diesel. Kalau mereka ke laut, mereka dapat bantuan. Jadi banyak sebenarnya bantuan kepada nelayan. Saya berharap bahawa nelayan dapat gunakan bantuan-bantuan ini untuk menambah lagi jumlah tangkapan mereka", katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin bersama Nelayan-Nelayan Negeri Sembilan di Auditorium Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson.

Pada program itu seramai 276 orang nelayan menerima Elaun Sara Hidup RM300 seorang dengan nilai keseluruhan sebanyak RM82,800.

ROSLINA BINTI DIN