fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri pantau jalan raya rosak di Sarawak akibat hujan lebat

Pandangan dari atas menggunakan drone meninjau situasi banjir di Kawasan Sejijak dan Kampung Rantau Panjang/Foto APM Sarawak

KUCHING, 30 Januari – Kerajaan negeri akan menilai tahap kerosakan prasarana jalan di seluruh Sarawak susulan hujan lebat berterusan sejak minggu lalu yang telah menyebabkan beberapa struktur jalan rosak, khususnya di bahagian Kuching.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata antara jalan yang terjejas termasuk Lebuh Raya Pan Borneo dan Mambong di Padawan.

Oleh itu, beliau mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melakukan pemantauan bagi mengenal pasti jalan-jalan rosak dan yang berpotensi runtuh di seluruh negeri.

“Kita mahu JKR memastikan pemantauan dilakukan terhadap jalan yang rosak serta berisiko mengalami runtuhan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui di Batu Kawa, hari ini.

Sebelum itu, beliau sempat melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SJKC Chung Hua Batu Kawa, yang menempatkan 236 penduduk daripada 59 keluarga yang terjejas akibat banjir di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa sejak malam Selasa lalu.

Selain menilai kerosakan infrastruktur, kerajaan negeri juga sedang mengkaji keperluan untuk memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan kaki bukit bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh yang boleh mengancam nyawa dan harta benda.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Premier Sarawak bagi meneliti kawasan perumahan yang berdepan risiko tinggi.

"Perkara ini akan dibincangkan dengan Premier, namun perlu dikaji terlebih dahulu kawasan perumahan yang berdepan ancaman," katanya.

Beliau mengulas demikian susulan tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri, yang meragut lima nyawa semalam.

Dalam pada itu, beliau dijadualkan mengadakan tinjauan ke Bintulu petang ini bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, bagi menilai situasi semasa di kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir.

Setakat ini, lebih 2,000 penduduk telah dipindahkan ke PPS di Bintulu selepas hujan lebat berterusan menyebabkan taburan hujan melebihi 400 milimeter dalam tempoh 24 jam.

Bagi membantu operasi pemindahan, aset bantuan dari Sibu dan Miri telah dikerahkan ke kawasan yang terjejas di Bintulu.

GRACE AISYAH KEDAYAN