fb fb fb fb fb

Kerajaan larang syarikat arah pekerja guna akaun BUDI95 untuk kenderaan milik syarikat

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Syarikat tidak dibenarkan mengarahkan pekerja mengisi petrol menggunakan bantuan subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi kegunaan kenderaan milik syarikat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan kerajaan komited memastikan tiada pihak menyalahgunakan atau memanipulasi pelaksanaan inisiatif tersebut, khususnya melibatkan pekerja sektor penghantaran yang tergolong dalam kumpulan pekerja gig.

“Saya ingin tegaskan, jika ada mana-mana pekerja yang diarahkan oleh syarikat untuk mengisi kenderaan milik syarikat menggunakan akaun BUDI95 sendiri, itu salah. Mereka boleh buat laporan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atau memaklumkan kepada pihak berwibawa untuk tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Bernama di ibu negara, hari ini.

Menurut Datuk Fahmi, beliau sebelum ini meneliti satu video tular yang memaparkan dakwaan seorang pekerja syarikat penghantaran diminta mengisi petrol menggunakan subsidi BUDI MADANI, dipercayai melibatkan syarikat Flash Express.

Tambahnya, Flash Express merupakan syarikat berlesen di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan susulan kejadian itu, beliau telah mengarahkan MCMC menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Hasilnya, CEO Flash Express mengakui bahawa individu dalam video tersebut adalah pekerja mereka. Pekerja terbabit juga telah memadam kandungan berkenaan dan memohon maaf kepada pihak syarikat,” katanya.

Susulan insiden itu, Datuk Fahmi memaklumkan beliau telah berhubung dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk meneliti isu berkenaan secara menyeluruh serta mengadakan perbincangan bersama Persatuan Penghantar Malaysia (AMEC) bagi mencari penyelesaian terbaik.

0810 FAHMI BUDI95 FLASH 2Kementerian Kewangan (MOF) sedang meneliti kemungkinan memasukkan pekerja gig sektor penghantaran seperti Flash Express, J&T, Shopee Express dan syarikat lain sebagai penerima tambahan kuota subsidi BUDI95/Gambar Hiasan 

“Isu ini perlu diperhalusi kerana industri penghantaran mempunyai dua kategori pekerja, mereka yang tetap dan mereka yang bekerja secara gig.

“Bagi pekerja tetap, syarikat wajib menyediakan kenderaan serta menanggung kos petrol untuk tugasan rasmi. Namun bagi pekerja gig, mereka menggunakan kenderaan sendiri dan layak menerima manfaat BUDI95,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, MOF kini sedang meneliti kemungkinan memasukkan pekerja gig sektor penghantaran seperti Flash Express, J&T, Shopee Express dan syarikat lain sebagai penerima tambahan kuota subsidi BUDI95.

“Langkah ini penting bagi memastikan tiada ketirisan atau penyalahgunaan berlaku, selain menjamin kebajikan pekerja gig serta mengelak mereka menjadi mangsa kepada arahan tidak wajar oleh majikan,” katanya.

Justeru, kerajaan sedang meneliti semua aspek bagi memastikan pelaksanaan subsidi itu benar-benar sampai kepada golongan yang layak tanpa menindas mana-mana pihak.

“Kerajaan sedang melihat semua sudut supaya pelaksanaan subsidi ini benar-benar sampai kepada yang layak dan tidak menindas mana-mana pihak,” ujarnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN