KUALA LUMPUR, 31 Julai -Kajian semakan Pindaan Akta Orang Asli 1954 kini sedang dilaksanakan bagi memperhalusi dan mengkaji semula peruntukan semasa dalam Akta 134.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana akta tersebut tidak pernah dibuat sebarang pindaan substantif sejak berkuat kuasa pada tahun 1954.
Katanya, semakan itu penting bagi memastikan hak, perlindungan dan pembangunan komuniti Orang Asli terus terjamin selari dengan keperluan semasa.
"Berdasarkan hasil dapatan awalan kajian dan juga sesi libat urus beberapa perkara dan isu yang telah dikenal pasti berkaitan masyarakat Orang Asli yang memerlukan pindaan bagi memastikan perlindungan hak dan kumpulan serta komuniti serta kemajuan Orang Asli terus terjamin.
"Saya ingin menekankan aspek-aspek berikut, pertama berkaitan tanah, kedua hal ehwal kebajikan Orang Asli, ketiga pengurusan perkahwinan adat dan keempat tadbir urus kepimpinan tradisi masyarakat Orang Asli," katanya ketika menjawab solan asal yang dikemukakan wakil Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias di parlimen.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah juga berkata, memandangkan hal pentadbiran tanah bawah bidang kuasa kerajaan negeri, satu sesi libat urus bersama kerajaan negeri melalui Mesyuarat Khas Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) akan diadakan.
Sesi libat urus melalui Mesyuarat Khas MaPOA ini penting sebelum isu tanah berkenaan dibincangkan di peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.