PUTRAJAYA, 22 November- Kerajaan komited untuk terus meningkatkan dan menambah baik mutu perkhidmatan pentadbiran dengan meneliti kesemua pandangan yang diutarakan pelbagai pihak.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beberapa langkah perubahan telah diambil termasuk mereformasikan institusi.
“Insya-Allah dalam tempoh berbaki bagi sidang Parlimen kali ini, Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) akan membawa beberapa Rang Undang-Undang (RUU) yang akan mencerminkan usaha dan ikhtiar kerajaan untuk mereformasi ataupun menambah baik institusi,” katanya.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet.
Beliau berkata lebih banyak RUU juga sedang direncanakan dan dirancang untuk dibawa ke Parlimen tahun depan termasuk RUU di bawah Kementerian Komunikasi.
"Contohnya RUU Majlis Media Malaysia yang sedang dalam proses akhir sebelum kita bawa ke Parlimen, tapi kita harap bacaan pertamanya adalah dalam sidang kali ini dan ini adalah komitmen kerajaan untuk menambah baik termasuk ekosistem bagi para pengamal media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung laporan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang telah memberikan penilaian gred D atau markah 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan.