KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkasa komuniti India di negara ini dengan meningkatkan pelbagai inisiatif menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata demikian ketika dalam satu pertemuan beliau bersama pengurusan MITRA dan beberapa Ahli Parlimen mewakili masyarakat India hari ini.
“Saya tegaskan pendirian kerajaan untuk terus memperhebatkan inisiatif bagi memberdayakan komuniti India di negara ini, khususnya menerusi MITRA.
"Ini termasuklah menerusi peruntukan yang telah saya umumkan dalam Belanjawan 2025 untuk melaksanakan pelbagai program, termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut mengarahkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk memperbanyakkan program berkaitan, yang akan diselia oleh Timbalan Menteri, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
“Semoga iltizam kerajaan serta sokongan semua pihak khususnya daripada pimpinan masyarakat India, akan terus memperkukuh MITRA dan merealisasikan hasrat untuk memartabatkan masyarakat India di negara ini,” tambah Anwar.
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta kepada MITRA untuk pelbagai inisiatif bagi memperkasakan komuniti India.
Ini termasuk program-program pembiayaan perniagaan, bantuan pendidikan, dan subsidi sosial yang ditujukan kepada golongan B40 dan M40.
MITRA juga merancang melaksanakan beberapa projek khusus, seperti bantuan lesen lori (GDL) dan subsidi pendidikan awal serta bantuan IPT untuk mengurangkan beban komuniti India yang memerlukan.