PUTRAJAYA, 19 November- Kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak mengharamkan penjualan vape di peringkat nasional.
Namun, ia diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dalam menentukan dasar masing-masing.
Bagaimanapun, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
"Saya kira negeri-negeri perlu membuat keputusan masing-masing. Kita tidak dapat mengharamkan vape ketika itu. Maka, kita telah mengambil sikap untuk mengawal selia.
Jika tanya saya, langkah pertama semestinya adalah sekat. Tetapi, jika kita tidak boleh sekat, kita perlu kawal selia. Saya tetap berpendirian sama tetapi buat masa ini, kita mempunyai perundangan tersendiri yang akan mengawal selia vape ini," kata Dr. Dzulkefly kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara penuh.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan, tidak akan bergantung hanya kepada satu kontrak bagi syarikat pembekalan insulin di negara.
Ini bagi memastikan bekalan insulin berterusan dan tidak lagi terjejas pada masa akan datang.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly mengakui bekalan insulin manusia dalam pasaran negara pernah terjejas susulan syarikat Biocon yang tidak lagi mampu membekalkan ubat itu.