KUALA LUMPUR, 2 Disember - Kerajaan kekal komited melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api ditetapkan mengikut harga pasaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penyasaran itu merupakan langkah terbaik bagi membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan tanpa membebankan rakyat.
“Cadangan mereka adalah untuk menaikkan harga kepada RM2.65 seliter untuk semua petrol, kemudian memberikan subsidi khusus untuk kategori tertentu.
"Saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri menolak cadangan tersebut, cadangan itu sebenarnya dikemukakan dan dibahaskan sehingga akhirnya dipersetujui untuk menurunkan harga RON95 untuk rakyat dan mengenakan harga pasaran kepada warga asing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Negara di sini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penyasaran subsidi secara menyeluruh itu memastikan bantuan terus dinikmati rakyat, di samping membanteras ketirisan subsidi kepada bukan warganegara serta kegunaan perniagaan.
"Dalam langkah ini, pembanterasan rasuah, penyasaran subsidi itu penting. kita selamatkan RM15 bilion, dalam penyelarasan subsidi RON95 atau elektrik, diesel, harga ayam dan telur kita berjaya jimatkan lebih RM15.5 bilion," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata ketika pembentangan Belanjawan 2026, kerajaan memilih untuk tidak memperkenalkan cukai baharu, sebaliknya menumpukan kepada penambahbaikan tatakelola, penyasaran subsidi dan pengukuhan pematuhan cukai.