fb fb fb fb fb

Kerajaan kekal komited dalam mengurus isu kekurangan bekalan makanan - PM

(FOTO HIASAN)

SERDANG, 6 Ogos - Kerajaan kekal komited dalam mengurus isu kekurangan bekalan makanan biarpun berdepan dengan pelbagai kekangan di sebalik kepincangan rantaian bekalan makanan dunia.

Justeru, Kerajaan berusaha menangani manipulasi ‘orang tengah’ dan ‘kewujudan kartel’ dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beberapa langkah intervensi telah dilaksanakan Kerajaan bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara.

Antaranya membatalkan kelulusan kuota import, melaksanakan sekatan eksport ayam, mewujudkan stok penimbang ayam dan ikan.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Pameran
Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA 2022) di Serdang)

"Dalam langkah intervensi ini, Kerajaan buat pertama kalinya memberikan subsidi berjumlah RM 1.1 bilion bagi meringankan beban penternak ayam sekaligus memastikan bekalan pengeluaran ayam dan telur mencukupi serta menjamin kestabilan harga.

Langkah-langkah ini terbukti telah menunjukkan kejayaan di mana hari ini bekalan ayam bukan sahaja berlebihan bahkan harga ayam juga lebih rendah daripada paras harga siling yang ditetapkan oleh Kerajaan iaitu RM 9.40 sekilogram," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA 2022), di sini.

Tambah Ismail, usaha berterusan dalam 'jihad memerangi orang tengah' perlu dilakukan selari dengan misi beliau pada tahun 2014 ketika menerajui Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani kerana tindakan orang tengah yang mengeksploitasi petani dan nelayan dengan memanipulasi harga di pasaran.

"Jihad ini perlu diteruskan oleh MAFI menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan dengan kerjasama agensi-agensi di bawahnya seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah-buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan," katanya.

Media Baharu