Kerajaan jamin keselamatan pelajar Malaysia di Asia Barat

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim beramah mesra bersama para pelajar pada Perasmian Apple Education Classroom di Politeknik Ungku Omar (PUO)/ BERNAMA

IPOH, 4 Mac – Kerajaan memberi jaminan keselamatan pelajar Malaysia di Asia Barat sentiasa menjadi keutamaan, susulan konflik yang sedang memuncak di rantau berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan utamakan keselamatan pelajar Malaysia di Asia Barat susulan konflik memuncak.
  • Wisma Putra dan kedutaan aktifkan pelan kecemasan untuk kebajikan serta keselamatan rakyat.
  • Ibu bapa disaran jangan panik dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa serta kedutaan.
  • Mesyuarat Kabinet bincang usaha membawa pulang rakyat Malaysia jika perlu.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, berkata kerajaan melalui Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di negara terlibat telah mengaktifkan pelan kecemasan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia terus terpelihara.

Beliau berkata ibu bapa tidak perlu panik, sebaliknya disaran supaya sentiasa berhubung dengan Wisma Putra serta memastikan anak masing-masing mematuhi arahan pihak berkuasa dan kedutaan.

“Jangan khuatir. Kita berdoa yang baik-baik. Kita telah beberapa kali menghadapi situasi getir seperti ini di negara-negara berbeza.

“Alhamdulillah, kebiasaannya rakyat Malaysia dapat dibawa pulang dengan selamat. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan hubungan diplomatik yang baik oleh negara kita”, katanya.

Tambahnya, Mesyuarat Kabinet hari ini turut membincangkan usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas sekiranya keadaan memerlukan, termasuk mengambil kira kekangan ruang udara dan situasi keselamatan semasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Apple Education Classroom bersempena Majlis Iftar Perdana di Politeknik Ungku Omar, di Ipoh.