fb fb fb fb fb

Kerajaan diminta tangguh pelaksanaan mengejut tarif elektrik - Persatuan Pengeluar Komponen Automotif

KUALA LUMPUR, 29 Disember - Pengeluar-pengeluar komponen automotif memohon kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan mengejut tarif elektrik sebanyak 566 peratus kepada 20 sen dan 27.7 sen/kWh pada 1 Januari 2023 daripada kadar 3 sen/kWh sekarang.

Presiden Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) Helmi Sheikh Mahmood berkata, peningkatan ini “akan memberi impak mendalam kepada seluruh industri di negara ini, besar ataupun kecil kerana kesannya akan dirasai oleh semua”.

Helmi berkata demikian dalam satu kenyataan bersama bagi pihak Persatuan Vendor Proton (PVA), Kelab Pembekal Toyota (TSC), Kelab Pembekal Honda Malaysia (HMSC) dan Persatuan Pembuat Alat Komponen Kereta (MACPMA).

Helmi berkata pengeluar-pengeluar komponen automotif tempatan memahami objektif kerajaan untuk menghapuskan subsidi kepada industri yang menggunakan voltan sederhana dan voltan tinggi demi mengurangkan impak kos akibat peningkatan harga arang kepada sektor tenaga negara.

(FOTO HIASAN)

"Walaupun begitu, kesan tarif yang bakal diperkenalkan dan impak pindaan Akta Pekerja 1955 (Pindaan 2022) terlalu berat untuk kami pikul," kata Helmi.

Beliau berkata pindaan akta itu yang memberi kesan tinggi kepada kos operasi industri ini meningkatkan tahap gaji minimum sebanyak 25 peratus kepada RM1,500 daripada RM1,200 sebelum ini, dan menurunkan jumlah bekerja kepada 45 jam seminggu daripada 48 jam sebelum ini, mengakibatkan peningkatan kos lebih masa.

"Kedua-dua faktor ini (peningkatan tarif dan pindaan Akta Pekerja 1955 (Pindaan 2022)) kos ini tidak dapat diserapkan oleh ahli-ahli kami dan kami akan terpaksa menurunkan peningkatan kos ini kepada para pelanggan.

"Ini akan memberi kesan yang negatif kepada industi automotif kerana ia akan meningkatkan harga kenderaan secara mendadak,” katanya lagi.

"Kami juga ingin berbakti demi negara dan kami memohon pihak kerajaan untuk menangguhkan perlaksanaan kenaikan tarif elektrik serta bekerjasama dengan kami demi memastikan sebarang perubahan polisi, undang-undang, insentif, tarif atau/dan initiatif lain akan memberikan kesan yang diingini," katanya.

Media Baharu