fb fb fb fb fb

80 peratus murid beragama Islam SK di Perak sertai KAFA

(FOTO HIASAN)

IPOH, 29 Disember - Seramai 100, 656 daripada 114, 377 atau 80 peratus murid beragama Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) di Perak menyertai sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri telah mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan tiada murid tercicir daripada menyertai kelas KAFA.

Jelas beliau, antara inisiatif tersebut ialah mewujudkan lima kelas KAFA tulen yang dilaksanakan di sekolah-sekolah kebangsaan terpilih iaitu SK Seri Selama, SK Ulu Slim, SK Ganda Teluk Intan, SK Dato’ Sagor Kampung Gajah dan SK Sungai Ramai Ayer Tawar.

"Kita mengiktiraf sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Sijil Rendah Agama Islam (SRAI) sebagai syarat utama permohonan kemasukan ke tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Negeri dan yang ketiga melaksanakan kempen kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat melalui pelbagai medium untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan KAFA kepada anak-anak mereka," kata Saarani di sini.

Tambahnya, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan untuk penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah KAFA yang disalurkan melalui Peruntukan Khas Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Peruntukan Pelbagai Projek di Pejabat Daerah.

Malah katanya, pelbagai agensi lain turut menyalurkan bantuan tersebut seperti Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

(Saarani ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15
di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini)

Sementara itu, persidangan DUN dimaklumkan sehingga kini, sebanyak 75 daripada 176 tapak menara baharu telah siap selain penyediaan kemudahan infrastruktur komunikasi bagi perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit (BWA) di 73 lokasi di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Mohd Azlan Helmi memaklumkan sebanyak dua satelit telah siap beroperasi di Kampung Orang Asli Balang dan Kampung Orang Asli Balang Satu.

Beliau menjawab soalan Hashim Bujang (Bersatu-Bukit Chandan) mengenai langkah-langkah untuk penambahbaikan mutu perkhidmatan kelajuan Internet di kawasan pinggiran bandar, luar bandar, kampung-kampung dan kawasan pedalaman termasuk kawasan Orang Asli.

Media Baharu