fb fb fb fb fb

Kerajaan cadang bentang akta jenayah dalam talian Oktober ini

Datuk Seri Azalina Othman Said / Foto RTM

KOTA TINGGI, 6 September - Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bercadang untuk membentangkan undang-undang berkaitan akta jenayah dalam talian, bulan depan.

Ini bagi membendung penggunaan gambar kanak-kanak tanpa kebenaran di media sosial.

Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata undang-undang tersebut akan membolehkan ibu bapa membuat laporan untuk menurunkan hantaran di media sosial sekiranya gambar anak mereka dimuat naik tanpa kebenaran.

Langkah ini susulan tindakan seorang pemandu bas yang memuat naik video kanak-kanak di dalam bas melalui akaun media sosial miliknya, yang menimbulkan kebimbangan ramai.

"Sebagai penyedia kandungan, dia mungkin rasa gambar kanak-kanak menarik perhatian, tetapi yang menontonnya mungkin individu berniat jahat, seperti pedofil atau mereka yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk penyalahgunaan.

"Jadi, apa yang disebut oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, adalah betul dan laporan polis perlu dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) Felda Sungai Mas, di sini.

Azalina turut menghargai tindakan warganet yang melaporkan isu tersebut kepada pihak berkuasa.

Terdahulu, seorang pemandu bas ditahan di Simpang Renggam, Kluang, Johor, sekitar pukul 2.57 pagi tadi kerana memuat naik video kanak-kanak di dalam bas ke akaun media sosial miliknya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis berhubung video tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN