PUTRAJAYA, 23 Februari- Kerajaan bercadang untuk mengadakan persidangan mengenai ekonomi Islam dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, asas-asas perundangan Islam tidak boleh diabaikan dan pada masa yang sama, wacana ekonomi Islam tidak harus terhad kepada subjek perbankan dan kewangan tertentu.
"Jadi saya minta mereka (bank Islam) membincangkan perkara ini mungkin hujung Mei ini, insya-Allah kita bercadang untuk mengadakan persidangan besar mengenai ekonomi Islam,” katanya ketika merasmikan Syarahan MADANI di sini.
Anwar berkata pengenalan falsafah MADANI kepada negara mengambil kira teras Maqasid al-Syariah.
Semasa Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau menggesa institusi kewangan Islam untuk bergerak menjangkau kecanggihan instrumen kewangan Islam.
Perkara itu bagi melihat isu-isu teras yang mempengaruhi masyarakat Islam, termasuk kemiskinan, ketidaksamaan, dan penyertaan ekonomi wanita serta perubahan iklim, peralihan tenaga dan transformasi digital.
"Bagaimanakah wacana bank Islam boleh mengabaikan isu transformasi digital, atau peralihan tenaga, atau keperluan untuk menghasilkan lebih banyak dari segi keselamatan makanan?" katanya.
Sementara itu, syarahan MADANI disampaikan oleh Profesor Jasser Auda merupakan tokoh ilmuwan Islam dalam bidang undang-undang Islam khususnya dalam bidang Maqasid Syariah.
Beliau juga adalah pengasas dan Presiden Maqasid Institute Global, berpusat di Toronto, Kanada.